Thursday, July 17, 2008

[ RAKAMAN ] Debat : Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak

Siri 1/6

Siri 2/6

Siri 3/6

Siri 4/6

Siri 5/6

Siri 6/6

[ PANDANGAN ] Debat : Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak

Pertama sekali saya ucapkan tahniah kepada pihak Agendadaily.com yang berjaya menganjurkan debat tersebut dan juga kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Datuk Ahmad Shabery Cheek kerana kedua-duanya berani menyahut cabaran itu. Alhamdulillah juga kerana majlis tersebut berjalan dalam keadaan lancar dan terurus tanpa sebarang gangguan serta masalah teknikal.
Saya mengikuti debat tersebut dengan begitu serius dan penuh minat. Bukan sahaja secara langsung tetapi juga siaran ulangan di TV3 satu jam selepas itu. Di sini saya berikan sedikit komen dan pandangan saya berkenaan debat tersebut.
Apakah persepsi utama rakyat terhadap debat tersebut.?
Datuk Seri Anwar Ibrahim “turun ke gelanggang” untuk menurunkan harga minyak supaya lebih rendah.
Datuk Ahmad Shabery Chick “turun ke gelanggang” mempertahankan harga minyak yang tinggi.
Di sini pihak kerajaan sudah pun “tewas”, kerana dalam politik persepsi adalah lebih penting. Kepada yang membaca artikel ini saya bertanya disebelah pihak manakah anda akan lebih bersetuju? Saya percaya, tidak kira samaada penyokong kerajaan dan pembangkang serta yang tidak menyokong mana-mana pihak pun sudah tentu menyokong harga minyak yang lebih rendah. Ini bermakna debat itu tadi DSAI (merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim) turun sebagai pembela rakyat bukannya pembela pembangkang, manakala DASC (merujuk kepada Datuk Ahmad Shabery Cheek) pula turun sebagai pembela kerajaan. Sepatutnya pihak kerajaan tidak menyahut cabaran debat ini jika tidak ingin mencalarkan imej sebuah kerajaan. Oleh kerana demikian, sekiranya DASC mengemukakan sebanyak mana sekalipun bukti-bukti serta data-data dari pelbagai agensi, Bank Negara, Bank Dunia dan sebagainya penonton (rakyat) tidak akan mengambil kira itu semua dan sama sekali tidak akan menyetujui harga minyak dinaikkan. Amat mudah bagi DSAI meneruskan tugasnya berdebat kerana sudah 80% ideologinya diterima rakyat melalui persepsi awal dan beliau hanya perlu menambah kerja-kerja menghias dan “finishing” sahaja.
Hujah saya ini diperkuatkan lagi setelah saya cuba melayari beberapa forum-forum serta portal-portal pro-kerajaan yang rata-rata menghentam kegagalan DASC malam tadi, apatah lagi forum-forum serta portal-portal pro-pembangkang sudah tentu lah lagi.
DASC telah sedaya upaya membahaskan serta memberikan hujah-hujah yang kukuh untuk menangkis dakwaan DSAI berkenaan bagaimana harga minyak boleh diturunkan dan sekiranya penurunan tersebut dilakukan juga ianya memberikan kesan begini dan begitu kepada negara. Namun layakkah DASC berdebat dengan “antara pemidato terbaik dunia” tersebut?. Pengalaman (DSAI selaku TPM dan Menteri Kewangan) membataskan segala-galanya. DSAI dilihat lebih profesional dan penuh yakin,( malah sekali-sekali reaksi beliau menunjukkan memek muka dan mengeleng kepala mencuit hati penonton dan DSAI dilihat lebih bersahaja berbanding DASC yang dilihat lebih serius dan tertekan) serta memberikan hujah-hujah dan menangkis serangan DASC dengan fakta-fakta yang releven. Dalam sesuatu debat tidak kira debat politik ataupun bukan, fakta yang releven menjadi faktor kepada penyumbang markah. DASC gagal mendapatkan markah tersebut, namun demikian dari segi faktor politik DASC dapat juga menghentam DSAI sewaktu dengan memberikan contoh “ Sewaktu bukan dalam kerajaan DSAI memperjuangkan isu Baling, namun sewaktu dalam kerajaan DSAI tidak juga dapat menyelesaikan isu tersebut” dan juga “bagaimana cara DSAI cuba menggunakan IMF untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara sewaktu DSAI menjadi TPM dan Menteri Kewangan” dan bagaimana DSAI menjadi penyebab ramai peniaga-peniaga gulung tikar akibat langkah di ambil beliau sewaktu menangani masalah kemelesatan ekonomi ketika itu.
Namun begitu, banyak fakta-fakta tidak digunakan sepenuhnya oleh DASC dalam debat tersebut. Beliau terheret serta mengikut rentak DSAI, sepatutnya beliau dengan mudah dapat menjelaskan kenapa harga minyak tidak diberikan subsidi yang banyak. DASC boleh mengatakan sekiranya subsidi untuk rakyat disalurkan melalui petrol dan diesel sepenuhnya secara tidak langsung ianya turut dinikmati oleh bukan warga Malaysia sahaja, malah rakyat negara jiran, pekerja-pekerja asing (pekerja asing yang berstatus pegawai dagang…bukannya pekerja kilang, buruh atau pun pembantu rumah), pelancong. Oleh yang demikian kerajaan memilih untuk menyalurkannya melalui saluran makanan dimana harga minyak masak sebenarnya RM5 untuk 1kg tetapi ditanggung subsidi 50% oleh kerajaan. Sebaliknya yang disebut oleh DASC hanyalah jika diberikan subsidi syarikat-syarikat besar seperti Shell dan Exxon Mobil turut menikmatinya. Apakah rakyat faham maksud tersebut? Yang malangnya DASC turut mengeluarkan fakta kajian beliau yang menyatakan "rakyat Malaysia cukup makan" . Apakah benar wahai Datuk Menteri?.
Kesimpulan hasil debat Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak yang dibuat oleh saya ialah :
DASC gagal kerana beliau lebih banyak merapu dan memberikan fakta yang tidak berkenaan. Sepatutnya cadangan serta strategi DSAI “Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak” itu perlu ditangkis, bagaimana DSAI mengatakan dengan cara itu dan ini kaedahnya harga minyak diturunkan maka DASC pula harus menyangkal dengan mengatakan cara itu akan memberi kesan begitu, manakala cara ini akan memberi kesan yang sebegini. Tetapi DASC memilih untuk bercerita tentang negara-negara lain, serta kerap menyebut Norway dan Venezuella akhirnya DASC “terperangkap” apabila DSAI menyatakan “Jangan kita nak bandingkan dengan Norway…pendapatan perkapita rakyat Norway berapa? Malah ada suatu ketika apabila DASC menyatakan dengan penuh yakin harga minyak di Venezuella murah tetapi inflasinya tinggi mencapai kadar 5% - 8% tetapi dengan bersahaja DSAI menjawab “ ya memang diakui kadar inflasi di Venezuella agak tinggi tetapi harga minyaknya rendah. Tetapi di Malaysia sudahlah harga minyaknya tinggi tetapi inflasi makin tingginya lagi”. Lantas dijawab balik oleh DASC ( saya lupa dialognya tetapi berkaitan minyak atar dan minyak urut :-p ). Malah sewaktu DSAI berulang-ulang kali menyatakan untuk tidak mengambil wang Petronas dan tidak ingin “menyentuh Petronas” untuk menurunkan harga minyak, sebaliknya mahu menggunakan dividen khas yang diberikan oleh Petronas kepada kerajaan dan mengkaji semula struktur IPP DASC seolah-olah tidak faham dan menyatakan kita tidak boleh mengambil wang Petronas untuk menampung subsidi, apakah nanti kita akan membiarkan Petronas akan diambil alih oleh orang lain……
DSAI juga gagal menjawab beberapa soalan antaranya beliau tidak menjawab soalan DASC yang berbunyi sebegini “kalau kita dah ajar rakyat dengan harga minyak murah, padahal harga minyak mahal, mcm mana kita nk tangani kenaikan minyak yg semakin menaik akan datang? Dan satu soalan yang dikemukakan oleh pengerusi debat yang berbunyi “ Rasanya Dato Seri tidaklah perlu menjadi PM dan bercakap mengenai pertukaran kerajaan untuk menurunkan harga minyak. Tetapi mengapa tidak dikongsikan sahaja idea tersebut” ( lebih kurang macam tu lah soalannya. ) Tetapi yang dijawab oleh DSAI ialah berkenaan kebebasan media dan fitnah yang berterusan.
Debat tersebut tidak member apa-apa makna dan kesan. Rakyat bukanlah juri professional yang pandai menghakimi debat. Rakyat lebih melihat kepada siapa yang memberikan persembahan terbaik itulah pemenangnya.
DSAI Berjaya menerangkan ideanya bagaimana harga minyak boleh diturunkan. Kerana idea itu tidak ditangkis dan dimatikan oleh DASC.

Itu sahajalah dari saya, sekiranya pembaca bersetuju atau tidak, atau mempunyai idea yang lain. Sila tinggalkan komen. Apa-apapun anda sendiri sudah tentu menilainya sendiri dari sudut yang berbeza.

Saturday, July 12, 2008

Pas Kaji Kedudukan Dalam Pakatan Rakyat

Oleh Zulkiflee Bakar dan Saifulizam Mohamad
Dipetik dari : www.utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 Julai – Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP semakin retak apabila Pas dijangka mengkaji semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang itu.

Difahamkan langkah Pas tersebut berikutan beberapa perkembangan politik yang berlaku terutamanya tindak-tanduk PKR dan DAP yang dilihat sering membelakangi Pas dalam membuat keputusan.

Malah menurut sumber, usul tidak percaya yang diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia oleh Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen pada Khamis lalu dikatakan turut tidak mendapat restu Pas.

Turut mendorong Pas mengkaji semula kedudukan dalam Pakatan Rakyat ialah timbulnya perasaan tidak puas hati di kalangan pemimpin parti itu yang melihat pakatan berkenaan hanya memperalatkan Pas bagi mendapat kuasa tetapi tidak menghargai sumbangan mereka selepas pilihan raya.

Ini jelas apabila di Perak dan Selangor, PKR dikatakan hanya ‘berkongsi’ dengan DAP dalam membuat keputusan biarpun Pas turut berada dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Mingguan Malaysia diberitahu, pemimpin-pemimpin Pas juga sudah mencapai kesepakatan bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyelesaikan dakwaan liwat yang dihadapinya secara bersendirian tanpa perlu melibatkan Pas.

Selain itu, demi perpaduan Melayu dan kepentingan Islam, Pas juga telah memberi ‘amaran’ kepada pemimpin-pemimpin PKR dan DAP agar tidak menghalang sebarang usaha untuk mengadakan rundingan dengan UMNO.

Pendirian Pas itu sudah dinyatakan secara terbuka oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara dengan lidah rasmi parti itu, Harakah minggu lalu.

Malah dalam wawancara berkenaan, Abdul Hadi juga dengan tegas menyatakan bahawa dalam Pakatan Rakyat tiada sesiapa yang menjadi ketua.

Kenyataan itu menurut sumber parti berkenaan, secara jelas membuktikan bahawa Pas tidak pernah mengiktiraf Anwar sebagai ketua atau pemimpin utama Pakatan Rakyat.

‘‘Abdul Hadi membuat kenyataan berkenaan kerana melihat Anwar acap kali menonjolkan diri sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat sedangkan tidak pernah ada kesepakatan berhubung perkara itu.

“Bagi Pas, kerjasama dalam Pakatan Rakyat adalah berdasarkan kerjasama kolektif dan bukannya sesiapa menjadi ketua,’’ kata sumber berkenaan ketika dihubungi.

Mingguan Malaysia juga difahamkan, ketegasan Pas untuk mengkaji semula hubungan dengan Pakatan Rakyat adalah berikutan desakan kuat generasi muda Pas yang beranggapan kehadiran parti itu dalam pakatan berkenaan hanya membantutkan usaha mereka memperjuangkan Islam.

Selain itu, mereka berpendapat, Pas perlu mengadakan rundingan dengan UMNO demi kepentingan orang Melayu dan Islam yang kini dikatakan semakin tergugat.

“Beberapa pemimpin Pemuda Pas juga sudah menyuarakan hal ini dengan lantang, mereka tidak mahu Pas terlalu hendak mengejar kuasa sehingga sanggup mengorbankan matlamat perjuangan parti itu untuk menegakkan Islam,’’ kata sumber itu lagi.

Pas juga kata sumber itu, yakin jika mereka hendak mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Islam, ia hanya boleh dilakukan dengan kerjasama UMNO dan bukannya bersama PKR.

“Ini bukan bermaksud Pas akan bergabung dalam BN atau sebaliknya tetapi sekadar bermuzakarah bagi mencari titik persamaan dalam memperjuangkan kedua-dua perkara berkenaan,’’ kata sumber itu.